Friday, 29 June 2018

Pukul murid darjah satu hingga lebam, guru didenda RM900 - Mahkamah - Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Seorang guru lelaki yang memukul murid perempuan darjah satu sehingga berbirat dan lebam pada lengan kiri mangsa  kerana murid itu salah menulis huruf 'Y dan W' hari ini didenda  RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Majistret Namirah Hanum Mohamed menjatuhi hukuman itu terhadap Hii Sii Teck, 36, selepas dia mengaku bersalah  atas tuduhan sengaja mencederakan murid berumur tujuh tahun  dengan memukul tangannya di dalam kelas, di sebuah sekolah di Jalan  Gombak, Setapak pada  jam 8 pagi, 8 Februari lalu.

Sii Teck didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu. Dia membayar denda.

Terdahulu, Sii Teck yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia masih mengajar  di sekolah itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kecederaan di tubuh badan mangsa dan kesalahan dilakukan tertuduh tidak sepatutnya berlaku kepada kanak-kanak perempuan.

Mengikut fakta kes pada 8 Februari lalu, jam 4 petang, semasa pengadu yang merupakan ibu kanak-kanak itu  hendak memandikan anaknya beliau mendapati ada kesan berbirat dan lebam pada lengan kiri anaknya.

Pengadu kemudian bertanya mengenai kesan itu dan anaknya memberitahu seorang guru lelaki memukul lengannya semasa berada di dalam kelas  dan  punca guru itu memukul mangsa kerana murid itu salah menulis huruf 'Y dan W'. - Bernama


http://www.sinarharian.com.my/mobile/mahkamah/pukul-murid-darjah-satu-hingga-lebam-guru-didenda-rm900-1.850574


No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan