GURU Bahasa Inggeris dari Keningau, Sabah yang pernah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa menerima penghargaan bagi projek pengajarannya, "Wonder Zone" sempena Persatuan Antarabangsa Guru Bahasa Inggeris sebagai Persidangan Bahasa Asing yang berlangsung di Brighton, baru-baru ini.
Mohd Sirhajwan Idek, 30, yang mengajar bahasa Inggeris di Kolej Vokasional Keningau dijemput untuk membentangkan kertas kerjanya di persidangan pendidik Bahasa Inggeris terbesar dunia yang mengumpulkan 30 pemenang Biasiswa Express Publishing 2018 yang berlangsung dari 9 hingga 13 Mei tahun lalu.
"Projek 'Wonder Zone' menyediakan perkhidmatan pendidikan jarak jauh yang dijalankan oleh pelajar saya.
"Projek ini digunakan sebagai platform bagi membangun dan melaksanakan projek mereka selaras dengan konsep Pembelajaran Berasaskan Projek," katanya.
Antara peserta lain yang menyertai pertandingan itu adalah ahli bahasa terkemuka David Nunan, Jeremy Harmer dan Scott Thornbury.
"Scott adalah seorang ahli bahasa yang terkenal, malah beliau ditugaskan sebagai mentor bagi membantu pembentangan kertas kerja saya.
"Saya gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasama dan menimba pengalaman yang amat berharga," katanya.
Mengulas lanjut, Sirhajwan berkata, pada mulanya dia memilih sekolah rendah dan pelajarnya menentukan satu isu khusus yang akan dibangkitkan antaranya isu kesihatan, kebersihan, kemahiran membaca, menulis dan sukan.
"Mereka kemudiannya membangunkan projek terbabit di empat sekolah rendah yang berlangsung selama sebulan.
"Para pelajar menggunakan peluang yang ada untuk mengembangkan kreativiti, kemahiran komunikasi dan kerjasama menerusi Bahasa Inggeris.
"Kurang keyakinan diri antara penghalang yang membuatkan pelajar malu walaupun sebenarnya masing-masing berkebolehan bertutur dalam Bahasa Inggeris," katanya.
Antara enam anugerah global yang pernah dimenangi beliau adalah Macmillan Teachers at my Heart 2016, Norwich, United Kingdom, the International Innovation and Entrepreneurship Excellence in Teaching Award 2017, Paris, Perancisdan International ELT Research Conference PhD Grant 2018, Antalya, Turki.
Beliau juga memenangi Sumbangan Cemerlang dalam Pendidikan di Anugerah Pendidikan GESS 2018, Dubai serta Hadiah Guru Global 2018, Dubai.
Sirhajwan yang sudah enam tahun mengajar turut membabitkan diri dalam penyelidikan menerusi projek Pengajaran Komunikatif, Bahasa Inggeris untuk Tujuan Tertentu, literasi digital dan pembelajaran berasaskan projek.