Monday, 13 November 2017

Tajuk Perbincangan YB Menteri Pendidikan Malaysia Bersama Para Guru SJKT Di Negeri Kedah Pada 12 November 2017

TALKING POINT YB MENTERI PENDIDIKAN

Bersama Para Guru SJKT Di Negeri Kedah

Pada 12 November 2017

1.      Sukacitanya saya berbesar hati dan menganggap perjumpaaan ini
amat bermakna kepada saya. Sememangnya mendidik merupakan suatu tugas
yang berat dan amat mencabar kerana saya juga pernah bergelar seorang
guru suatu masa dahulu, justeru saya merasa amat dekat dengan
profesion keguruan yang telah pun sebati dalam diri saya. Syabas
diucapkan kepada para guru atas kejayaan mengharungi segala cabaran
dengan semangat yang kental demi mengangkat sistem pendidikan negara
berada pada tahap membanggakan dan dikagumi oleh dunia luar. Sokongan
padu yang ditunjukkan oleh guru-guru sekolah tamil dan masyarakat
India Negeri Kedah pada petang ini, menjadi bukti betapa hebatnya anda
berdiri teguh bersama saya membangunkan dunia pendidikan SJKT.

2.      Kualiti guru dan pencapaian sekolah tamil meningkat dan terus
meningkat, jasa bakti yang menggunung dalam mendidik anak-anak
sehingga menjadi insan berilmu dan berkeperibadian unggul telah
mencorak ke arah penambahan dalam  bilangan sekolah tamil  terus
meningkat. Ini menunjukkan kesan impak dasar-dasar kerajaan yang
sentiasa menyokong kemajuan SJKT.

3.      Sambutan Pendidikan Tamil di Malaysia menjelang 200 tahun
telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam usaha menyokong dasar
pendidikan venikular di Malaysia yang dianggap unik di arena
antarabangsa. Kementerian sentiasa terus berusaha memastikan
kemenjadian murid sebagai warganegara unggul yang berjaya dan akhirnya
dapat pula mencurahkan khidmat bakti kepada keluarga, agama, bangsa,
dan negara tercinta.

4.      Untuk meningkatkan taraf SJKT , kerajaan telah mewujudkan plan
tindakan sekolah tamil yang kini telah diperluaskan sehingga wujudnya
Malaysian India Blueprint ( MIB ) yang mempunyai Visi dan Misi yang
jelas dalam memperjuangkan martabat bahasa tamil di negara ini. Ia
merupakan satu platform untuk menghargai serta mengiktiraf SJKT dan
peranan warga pendidik SJKT di tanah air Malaysia yang tercinta ini.

5.      Keupayaan untuk membina negara bangsa pula bergantung kepada
sejauh mana nilai patriotisme, toleransi serta sikap saling
hormat-menghormati dapat dikongsi bersama oleh setiap lapisan
masyarakat. Nilai yang seharusnya dihayati bersama ini perlu dipupuk
seiring dengan aspirasi sistem pendidikan negara menerusi Anjakan
ketiga Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Bagi
menjamin keharmonian ini kerajaan setiap tahun memperuntukkan dana
khas untuk membangunkan sekolah tamil ke arah yang lebih lengkap
dengan pembangunan fizikal dan dalaman sekolah. Terkini, kerajaan
telah menetapkan 2.6 billion ringgit untuk pembangunan dan
penyelenggaraan SJKT di Negeri Kedah. Kerajaan akan terus memelihara,
memberi bantuan dari masa ke semasa dalam menentukan kejayaan SJKT di
negara ini.

6.      Penubuhan Persatuan Guru Besar Negeri Kedah telah memberi
ruang dan peluang kepada warga pendidikan SJKT serta pemimpin dalam
menentukan dan melancarkan aktiviti yang bermakna dalam meningkatkan
kualiti guru dan kemenjadian murid. Lapan nilai aspirasi iaitu budaya
ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya
ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi perlu
diterapkan bagi memacu kejayaan SJKT yang akan dibimbing oleh
Persatuan Guru Besar ini. Saya berharap persatuan ini akan memainkan
peranan penting dalam membina acuan kejayaan SJKT Negeri Kedah dan
akan membuktikan peranan penubuhan persatuan ini kepada semua rakyat
Kedah khasnya kaum India yang inginkan kejayaan yang lebih terbaik
dalam dalam pendidikan anak bangsa sendiri.

7.      Terima kasih buat semua guru SJKT. Jasamu dikenang, namamu
dijulang. Semoga pengorbanan suci ini kekal terpahat indah dalam
lipatan sejarah SJKT Kedah hari ini dan hari-hari berikutnya.



Sekian.

No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan