Permaisuri Johor: Guru perlu bijak kemas kini pengetahuan teknologi
Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah teknologi pada masa ini menuntut guru agar bijak mengemas semula pengetahuan.
Golongan pendidik mampu melakukan perubahan dan tranformasi dalam bidang pendidikan selagi mereka berupaya mencari kaedah pembelajaran yang efektif kepada anak didik mereka.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah bertitah perubahan yang berlaku rentetan daripada teknologi yang digunakan pada masa ini menuntut guru agar bijak mengemas semula pengetahuan, kemahiran, tujuan, pedagogi dan hasil pembelajaran yang dimiliki mereka.
Ini termasuk menerapkan penggunaan digital serta mengoperasikan pelbagai kaedah berfikir dalam pengajaran.
"Guru boleh melakukan ini dengan pelbagai strategi termasuk menggunakan ujian dan maklumat prestasi pelajar dalam merancang pengajaran, selain memberi tumpuan kepada pembangunan literasi dan numerasi.
"Di Malaysia, kita telah melihat banyak contoh tentang bagaimana individu dan kumpulan-kumpulan guru telah memberi impak yang besar kepada kehidupan pelajar mereka dan saya percaya guru-guru ini perlu dijadikan sebagai contoh untuk diikuti.
Amalan terbaik mereka mesti dikongsi dengan semua guru agar mereka dapat mengubah komuniti dan negara secara kolektif," titah baginda.
Persidangan MELTA
Raja Zarith Sofiah yang juga Penaung Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris (MELTA) bertitah demikian ketika menyempurnakan Persidangan Antarabangsa MELTA kali ke-27 2018 di Hotel Berjaya Waterfront, di Johor Bahru, hari ini.
Hadir sama Presiden MELTA Prof S. Ganakumaran.
Dalam persidangan itu, Guru Cemerlang Bahasa Inggeris, Nor Fadzleen Sa'don, 41, dari Sekolah Menengah Bandar Baru Uda telah dipilih sebagai penerima Anugerah Guru Bahasa Inggeris The MELTA Hyacinth Gaudart.
Nor Fadzleen yang ditemui kemudiannya berkata beliau menerapkan kaedah pembelajaran yang selaras dengan peredaran zaman bagi memastikan setiap pelajarnya tidak ketinggalan terutama dalam bidang pendidikan yang kini banyak menggunakan teknologi.
"Pendidikan bagi abad ke 21 ini perlulah berbeza. Konsep global yang saya terapkan di dalam bilik darjah dengan menggunakan teknologi seperti video dan juga "Visual Reality"(VR) membuatkan pelajar minat untuk belajar Bahasa Inggeris".
"Saya berkolaborasi dengan banyak guru dari luar negara seperti Mesir dan Amerika Syarikat melalui video. Kami berkongsi persamaan dan perbezaan pelajaran antara dua negara," kata Nor Fadzleen yang kini menyambung pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang teknologi di Institut Antarabangsa Teknologi Malaysia-Jepun, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
- Bernama
No comments:
Post a Comment