Friday 13 March 2020

Tawaran Biasiswa Peringkat Sarjana Di Bawah Thailand International Postgraduate Programme (TIPP) Bagi Tahun 2020 - Pengumuman KPM

YBhg. Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan,

HEBAHAN TAWARAN BIASISWA PERINGKAT SARJANA DI BAWAH THAILAND INTERNATIONAL POSTGRADUATE PROGRAMME (TIPP) BAGI TAHUN 2020

Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.         Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Thailand menerusi Thailand International Cooperation Agency  (TICA) telah menawarkan peluang biasiswa peringkat sarjana di bawah Thailand International Postgraduate Programme (TIPP) bagi tahun 2020 kepada pelajar-pelajar antarabangsa termasuk daripada Malaysia. Biasiswa TIPP bertujuan untuk membuka peluang kepada negara tersebut dan rakan-rakan strategik untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam menyumbang kepada pembangunan mampan melalui lima (5) bidang utama iaitu:

  1. Kecekapan Ekonomi (Sufficiency Economy Philosophy);
  2. Perubahan Iklim;
  3. Keselamatan Makanan;
  4. Kesihatan Awam; dan
  5. Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

3.         Pihak TICA akan menanggung antara lain, pembiayaan tiket penerbangan sekali dalam tempoh pengajian, elaun bulanan, elaun buku dan yuran pengajian bagi pelajar-pelajar yang berjaya mendapatkan tempat dalam program ini. Calon-calon yang berminat boleh membuat permohonan dengan melengkapkan borang terlampir dan disahkan oleh pihak yang berkenaan sebelum dihantar untuk penyelarasan dan pengesahan lanjut oleh Kementerian Pendidikan Malaysia selewat-lewatnya pada 27 Mac 2020 kepada alamat email aswad.judin@moe.gov.my. Maklumat lanjut berkenaan forum ini boleh diperolehi melalui laman sesawang http://www.tica.thaigov.net/main/en/relation/99237-TIPP-2019.html.

4.         Seperti yang pihak YBhg. Dato’/Datin/Prof./Dr./Tuan/Puan sedia maklum, berdasarkan situasi semasa wabak coronavirus (COVID-19) di Malaysia dan perkembangan terkini di peringkat global, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya. KKM juga telah menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan sementara ke luar negara terutamanya ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di Republik China, Republik Korea, Iran, Itali dan Jepun. Sekiranya perjalanan tersebut tidak dapat dielakkan, orang ramai adalah disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti yang telah digariskan oleh KKM termasuk menjauhkan diri daripada kawasan-kawasan di Thailand yang mencatatkan kes COVID-19 yang tinggi. Dalam hal ini, sebarang keputusan untuk memohon serta menyambung pengajian di Thailand adalah dibawah tanggungjawab masing-masing. Sebagai makluman tambahan, pencalonan yang berjaya juga adalah tertakluk kepada keadaan semasa di [Thailand susulan penularan wabak COVID-19 tersebut.

Muat Turun Surat Tawaran

 

Sekian, terima kasih.

Salam hormat.

Bahagian Hubungan Antarabangsa

Kementerian Pendidikan Malaysia



Sertai sembang santai Guru Malaysia di t.me/kelabguruchat
Ada berita menarik? email kepada KGM untuk ditularkan : mykelabguru.viral@blogger.com

Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan