Thursday 29 August 2019

Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam (27 Ogos 2019).



Pada sebelah pagi tadi (28 Ogos 2019) saya sempat melawat bangunan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) yang terlibat dalam kebakaran awal pagi semalam (27 Ogos 2019).

Berdasarkan kepada maklumat yang diberikan, kebakaran ini berlaku di tingkat 2 dan tingkat 3 Blok H10 di Fakulti berkenaan.

Sebanyak 21 bilik yang menempatkan 19 pensyarah turut musnah. Bangunan ini menempatkan pejabat pentadbiran dan pejabat akademik bagi program Ijazah Dasar dan Ijazah Tinggi.

Pihak Universiti Malaya (UM) sedang melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan dan ia dijangka selesai dalam tempoh empat bulan.

Secara keseluruhannya, anggaran kos baik pulih dijangkakan sebanyak RM2 juta.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UM kerana bertindak segera dalam merangka pelan bersesuaian bagi memastikan kebakaran ini tidak menjejaskan operasi Fakulti.

Terima kasih juga kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana melaksanakan tugas dengan baik untuk mengawal kebakaran ini.

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.2442456402492285/3076488575755728/?type=3

KPM GESA TIADA HUKUMAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN TERHADAP PELAJAR



KPM GESA TIADA HUKUMAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN TERHADAP PELAJAR

Saya secara peribadi bimbang dengan penularan gambar mengenai bentuk-bentuk hukuman yang bakal dikenakan kepada pelajar di sebuah institusi tahfiz di negeri Sarawak.

Di peringkat Kementerian, kita menyedari bahawa institusi pendidikan berkenaan berada di bawah kawal selia Kerajaan Negeri Sarawak, namun bentuk-bentuk hukuman ini tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat bidang pendidikan negara.

Dalam masa yang sama saya percaya, Jabatan Agama Islam Sarawak telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah ini.

Saya juga menyeru kepada semua institusi pendidikan persendirian untuk sentiasa berpegang kepada prinsip-prinsip kemanusiaan dan undang-undang yang berkaitan dalam menggubal sebarang bentuk hukuman terhadap pelajar di institusi masing-masing.

Pendidikan tidak berkesan dengan kekerasan. Pendidikan ialah cinta, kasih dan sayang. Pendidikan ialah untuk semua, tanggungjawab semua.

YB Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.572828452788432/3076370962434156/?type=3

Terima kasih Prof Dr Barjoyai Bardai, Profesor Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak kerana analisis yang sangat baik ini.



Terima kasih Prof Dr Barjoyai Bardai, Profesor Ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak kerana analisis yang sangat baik ini.

Benar. Program Sarapan Percuma akan menjimatkan kira-kira RM 2.3 bilion duit ibu bapa anak-anak kita.

Bukan itu sahaja, tenaga dan masa juga. Dan yang paling penting, anak-anak kita tidak hadir ke sekolah dengan perut kosong lagi.

Anak orang miskin, anak orang kaya, semuanya anak-anak kita. Dan sarapan percuma adalah untuk semua.

https://ift.tt/2KYhmfi

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.572828452788432/3076115715793014/?type=3

Wednesday 28 August 2019

Saya amat gembira pada hari ini kerana dapat meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.




Saya amat gembira pada hari ini kerana dapat meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Jit Sin di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dalam kesempatan yang diberikan saya berpeluang menyentuh mengenai usaha-usaha reformasi pendidikan yang sedang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saya menekankan mengenai kepentingan untuk warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak untuk terus memberikan sokongan padu dan kerjasama kukuh kepada KPM bagi memastikan agenda besar ini dapat dilaksanakan dengan baik dan menyeluruh.

Saya juga menyentuh tentang kepentingan untuk semua anak-anak Malaysia sentiasa mengutamakan perpaduan dan sikap toleransi. Ini merupakan kunci kepada kejayaan dan pengukuhan negara ini sejak sekian lama.

Perbezaan bukanlah untuk kita berpecah, namun ia merupakan kekuatan untuk kita lebih mengenali dan saling menghargai demi rasa cinta buat Malaysia.

Pada hari ini saya berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Pulau Pinang untuk merasmikan sambutan bulan kemerdekaan di sekolah berkenaan.



Pada hari ini saya berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tanjong, Pulau Pinang untuk merasmikan sambutan bulan kemerdekaan di sekolah berkenaan. Gembira saya melihat anak-anak, guru-guru dan seluruh kakitangan sekolah mempamerkan kesungguhan mengenang detik-detik penting pembentukan negara yang kita cintai ini.

Ogos menjadi bulan penting untuk kita mengenang sejarah panjang kemerdekaan negara. Perjuangan dan pengorbanan yang ditumpahkan pemimpin dan pejuang terdahulu harus kita jadikan semangat dan azimat buat kita meneruskan kesinambungan penting membina dan membangunkan negara yang kita cintai ini.

Baru-baru ini, KPM memperkenalkan kembali pendidikan sivik di sekolah yang diajar secara rentas kurikulum. Ia memberikan anak-anak kelebihan pengetahuan lebih meluas dan melihat sivik dari pelbagai aspek yang ada.

Salah satu penekanan terpenting dalam pendidikan sivik ini ialah menyuburkan perasaan cintakan negara dan melahirkan warganegara yang bertanggungjawab terhadap negaranya sendiri.

Sehubungan itu, bertepatan dengan sambutan hari kebangsaan ini, pendidikan sivik boleh digunakan sebagai salah satu kaedah untuk mendekatkan jiwa anak-anak dengan elemen patriotisme.

Menanam semangat cintakan negara dan menyuburkannya bukan sekadar hangat semasa Ogos dan September sahaja. Ia bukan satu usaha bermusim, namun ia perlu wujud secara semula jadi demi menjadikan kita benar-benar faham dan mengerti tentang erti kemerdekaan serta terus bersama-sama berusaha memainkan peranan masing-masing untuk kemakmuran negara.

Meningkatkan kualiti diri dalam bidang pendidikan, mencapai tahap terbaik dalam kegiatan kokurikulum atau membentuk diri menjadi anak yang berakhlak mulia ialah permulaan penting menjadi seorang warganegara hebat.

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.230666793671268/3073386449399274/?type=3

Guru merupakan tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara



Guru merupakan tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara. Menjadi guru yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa, mengadaptasi kepentingan teknologi dalam menyampaikan ilmu dan mengukuhkan pengetahuan dari masa ke masa merupakan ciri-ciri yang harus ada pada setiap guru di negara ini.

Hari ini saya berada di Persidangan Penyelidikan dan Inovasi Pendidikan Kebangsaan Keempat dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang.

Saya melihat persidangan seperti ini menjadi wadah penting untuk mempersiap guru-guru ke arah budaya pendidikan dan pembelajaran yang berteraskan kaedah terkini dan berpaksikan kemajuan teknologi.
Pesta Buku IPG yang diadakan bersekali dengan persidangan ini juga amat bermanfaat kerana berjaya mengumpulkan penulis dalam kalangan pensyarah dan pelajar di 27 Kampus IPG seluruh negara yang bakal memberikan faedah termasuk dari sudut bahan rujukan kepada bidang pendidikan negara.

Pembacaan, penyelidikan dan inovasi merupakan teras kepada usaha berterusan untuk membentuk warga pendidikan yang memiliki kemantapan pemikiran dan ilmu untuk mengukuhkan sistem pendidikan negara.

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.572828452788432/3073338602737392/?type=3

SOALAN-SOALAN LAZIM BERKAITAN PROGRAM SARAPAN PERCUMA (PSP)



SOALAN-SOALAN LAZIM BERKAITAN PROGRAM SARAPAN PERCUMA (PSP)

1. Apakah tujuan utama pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP)?

Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memberikan makanan berkhasiat yang mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.

2. Siapakah kumpulan sasar bagi program ini?

Kumpulan sasar bagi program ini adalah semua murid warganegara sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan dengan anggaran seramai 2.7 juta orang.

3. Bagaimana pula dengan murid prasekolah dan sekolah menengah?

Murid prasekolah dan sekolah menengah tidak terlibat untuk program ini dan makanan untuk murid prasekolah melibatkan tatacara perolehan yang berlainan.

4. Bilakah program ini akan mula dilaksanakan?

PSP akan mula dilaksanakan bermula pada sesi persekolahan tahun 2020.

5. Bagaimanakah PSP ini akan diuruskan nanti dan pihak mana yang bertanggungjawab unuk menyediakan sarapan ini?

PSP akan menggunakan kaedah pengurusan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sedia ada dan sarapan ini nanti akan disediakan oleh pengendali kantin di setiap sekolah terlibat.

6. Pada waktu bilakah PSP akan dilaksanakan pada setiap hari persekolahan?

PSP dicadang untuk dilaksanakan selama 30 minit di antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi bagi sekolah sesi pagi dan di antara jam 12 tengah hari hingga 4.00 petang bagi sekolah sesi petang.

7. Berapakah kos sarapan bagi setiap murid?

KPM sedang meneliti kos yang bersesuaian bagi memastikan semua murid dapat menikmati hidangan yang baik dan berkualiti.

8. Bagaimanakah KPM akan menentukan menu PSP ini dan menjamin kualitinya nanti?

Proses penentuan menu PSP adalah melalui perbincangan berterusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pakar-pakar pemakanan di beberapa universiti tempatan. KPM juga mengambil langkah-langkah bersesuaian melalui kerjasama dengan KKM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta pakar-pakar pemakanan di universiti tempatan bagi menjamin kualiti sarapan yang disediakan.

9. Adakah KPM melaksanakan sebarang projek rintis terhadap PSP?

Bagi menjamin pelaksanaannya dapat berjalan lancar kelak, KPM sedang melaksanakan PSP rintis di beberapa buah sekolah. PSP rintis telah bermula sejak awal Ogos 2019 dan dijangka berakhir pada Oktober 2019 Berdasarkan analisis PSP rintis ini, KPM akan mengambil pendekatan bersesuaian untuk melaksanakan PSP secara lebih baik dan menyeluruh.

10. Bagaimana pula dengan peruntukan untuk melaksanakan PSP? Adakah ia akan menggunakan dana dari kutipan cukai gula?

Satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi membincangkan secara terperinci peruntukan yang bakal digunakan untuk program ini. Penggunaan dana daripada cukai gula merupakan sebahagian daripada cadangan yang akan diteliti dalam Jawatankuasa ini.

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.230666793671268/3073036689434250/?type=3

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan