Friday, 27 July 2018

Am : RM10 juta bantu 5,000 pelajar Sabah masuk IPT - Mohd Shafie



----
Am : RM10 juta bantu 5,000 pelajar Sabah masuk IPT - Mohd Shafie // BERNAMA - Malay Version
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1483756

RM10 juta bantu 5,000 pelajar Sabah masuk IPT - Mohd Shafie

Tarikh kemaskini: 26/07/2018
 

KOTA KINABALU, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah akan memberi bantuan secara sekali beri berjumlah RM10 juta kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi, tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bantuan itu bakal memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 5,000 pelajar cemerlang termasuk pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

Mohd Shafie yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata insiatif itu adalah bukti komitmen kerajaan negeri baharu selain merupakan pelaburan jangka panjang dalam memperkasa pembangunan modal insan sekali gus melahirkan rakyat berilmu dan berpendidikan tinggi.

"Jika keadaan kewangan negeri bagus, jumlah bantuan ini akan ditingkatkan pada tahun depan kerana sektor pendidikan dan pembangunan sumber manusia menjadi keutamaan kerajaan negeri sekarang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Biasiswa Cemerlang Sabah Siri Ke-29, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelajaran dan Inovasi negeri Datuk Dr Yusof Yacob dan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

Sejumlah 40 pelajar cemerlang SPM terpilih menerima anugerah biasiswa itu pada tahun ini sekali gus menunjukkan peningkatan jumlah penerima berbanding hanya 25 orang sebelum ini.

Mohd Shafie berkata jumlah penerima biasiswa berkenaan akan ditingkatkan pada tahun akan datang dan setiap penerima akan dipilih mengikut daerah di Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan sekolah vokasional, yang mana, kurikulum sekolah itu akan lebih komprehensif selaras dengan keperluan industri dan pasaran kerja.

Usaha itu ke arah melahirkan lebih banyak pelajar berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas dalam industri yang akan dimajukan di negeri ini sekali gus menjadikan Sabah sebagai negeri perindustrian di masa akan datang, katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan