Sunday 25 August 2019

LEBIH 16,000 KUARTERS GURU YANG TERBIAR SEDANG DITANGANI



LEBIH 16,000 KUARTERS GURU YANG TERBIAR SEDANG DITANGANI

Hari ini, saya menghadiri Program Transformasi Minda Anak Muda yang diadakan di Gugusan Felda Belitong bersama anak-anak dan masyarakat di sana.

Saya hadir untuk membuat tindakan susulan berhubung isu yang sering dibangkitkan di Parlimen. Iaitu isu prasarana kuarters guru dan kekosongan kuarters guru.

Di parlimen, isu ini sangat hangat. Unit Hal Ehwal Parlimen, KPM juga telah mengambil kesempatan untuk meninjau isu ini di daerah Kluang ini.

Untuk makluman, KPM mempunyai sebanyak 50,257 unit kuarters seluruh Malaysia.

Daripada jumlah tersebut sebanyak 33,893 unit (67.44 peratus) sedang diduduki sementara 16,364 unit (32.56 peratus) adalah merupakan kuarters kosong.

Daripada 16,364 unit kuarters kosong tersebut, sebanyak 6,302 unit berada dalam keadaan yang baik dan boleh diduduki. Manakala sebanyak 10,062 unit berada dalam keadaan yang rosak dan tidak boleh dihuni.

Bagi tahun 2019, KPM memberi keutamaan penyelenggaraan kepada kuarters yang berpenghuni.

Walau bagaimanapun, KPM turut menjalankan pembaikan kuarters kosong yang mempunyai permintaan berdasarkan permohonan dan keutamaan skop yang disyorkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan Bahagian supaya dapat dibuat pengisian, namun masih tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa.

Sehingga 31 Mei 2019, KPM telah menyalurkan sebanyak RM56 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kuarters berpenghuni termasuk sebanyak 773 unit kuarters yang tidak berpenghuni.

Saya sendiri akan memastikan supaya isu kelengkapan prasarana ini diselesaikan segera dan secara menyeluruh, malah segala isu yang berkaitan dengan kuarters guru di seluruh Malaysia juga akan segera diselesaikan untuk jangka masa yang panjang.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung pada hari ini, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Pejabat Pendidikan Kluang, Bahagian-Bahagian KPM, pihak FELDA, SMK LKTP Belitong, sekolah-sekolah berdekatan, guru-guru, PIBG serta murid-murid atas sumbangan dan kerjasama menjayakan program ini.

YB Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan Malaysia

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.572828452788432/3068019656602620/?type=3

No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan