Wednesday 21 August 2019

Saya begitu bertuah pada hari ini kerana diberikan ruang dan peluang untuk menyampaikan ucaptama di 2019 Beijing International Publishing Forum



Saya begitu bertuah pada hari ini kerana diberikan ruang dan peluang untuk menyampaikan ucaptama di 2019 Beijing International Publishing Forum. Ia sebuah forum berskala besar yang menghimpunkan penerbit-penerbit buku dan majalah dari seluruh dunia yang hadir sempena Beijing International Book Fair 2019.

Dalam ucaptama saya menyentuh mengenai usaha-usaha berterusan Malaysia dalam meningkatkan minat membaca dan merancakkan pertumbuhan industri perbukuan negara. Idea Dekad Membaca Kebangsaan jelas mendapat perhatian ramai dan kita akan memastikan ia mampu mencapai matlamat untuk meningkatkan jumlah bacaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di samping itu, pemilihan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 juga mampu menjadi permulaan terbaik untuk kita mengorak kerjasama lebih besar dengan negara-negara hebat seperti China dalam memastikan karya-karya tempatan terus segar di negara sendiri dan di merata dunia.

Saya juga mengemukakan pandangan untuk Malaysia mewujudkan program residensi penulis secara lebih berfokus dan tersusun serta menjalinkan kerjasama dengan penulis-penulis mapan dari China bagi menyuburkan kerjasama ilmu antara kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia hadir ke Beijing pada kali ini untuk memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi silang budaya terbaik di dunia. Kita berhasrat untuk menonjolkan kepada semua bahawa Malaysia memiliki kepelbagaian yang unik dan menarik untuk diterokai.

Dalam masa sama, kita juga berhasrat untuk memperkenalkan karya-karya hebat Sasterawan Negara di Beijing. Satu usaha besar sedang direncanakan untuk meluaskan karya-karya ini kepada khalayak lebih besar.

Malaysia sentiasa memandang China sebagai destinasi terbaik dari sudut ekonomi dan budaya. Sehubungan itu, delegasi Malaysia di Beijing pada kali ini akan meneroka peluang kerjasama lebih luas bagi terus mewujudkan ekosistem lebih dinamik terhadap industri perbukuan di kedua-dua negara.

source https://www.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.230666793671268/3052953691442550/?type=3

No comments:

Post a Comment

Artikel Pilihan

Frog VLE Ibu Bapa - URL Penting untuk disimpan